Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kerap berpuasa pada
hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang tiga hari setiap bulan, khasnya hari-hari
putih bulan Qamariah dan ada kalanya Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam
berpuasa sehari dan berbuka sehari, sepertimana puasa yang sering dilakukan
oleh Nabi Allah Daud AS.
Hari-hari Putih adalah hari ke 13,14 dan 15 di dalam Taqwim
Islam (Qamariah). Hari-hari tersebut
dinamakan sebagai “أيام البيض”
(hari-hari putih) kerana pada ketiga-tiga malam tersebut bulan sedang
mengambang penuh dan kelihatan cerah menyinari dan menerangi alam semesta.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berpesan kepada
Abu Zarr r.a.; “Wahai Abu Zarr! Apabila kamu berpuasa tiga hari dari setiap
bulan, maka berpuasalah pada hari ke 13, 14 dan 15.” (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Puasa sunat tiga hari setiap pertengahan bulan Hijrah,
menyamai puasa setahun sebagaimana hadis riwayat daripada Abdullah bin Amr
r.a., Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Berpuasalah pada setiap
bulan sebanyak tiga hari, maka ganjarannya adalah puasa setahun.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan juga dari Qatadah bin Milhan r.a. yang
menceritakan; “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan kami supaya
berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke 13, 14 dan 15 dimana Baginda
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda; ‘Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu
seumpama berpuasa sepanjang masa.” (Riwayat Imam Abu Daud).
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh umatnya
berpuasa pada hari-hari putih adalah kerana dapat memberi ketenangan pada
minda, menjadikannya lebih stabil dan tenang, mengatur perilaku manusia dan
membentuk akhlak yang mulia.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Di syurga
ada ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat daripada dalam dan bahagian
dalamnya dapat dilihat dari luar, untuk mereka yang berkata baik, memberi
makan, selalu berpuasa dan solat ketika orang lain tidur.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan