Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap negara di dunia ini mempunyai pemimpin masing-masing
yang akan menjalankan pemerentahan dan menguruskan negara . Ada pemimpin di
pilih oleh rakyat melalui pilihanraya dan ada pemimpin yang dilantik
berdasarkan keturunan seperti kerabat diraja melalui sistem monaki.
Dalam Islam pemilihan pemimpin adalah perkara yang sangat di
tuntut dan semua yang terlibat dalam pemilihan akan bertanggungjawab dihadapan
Allah SWT di akhirat nanti. Jika berlaku penyelewengan atau kezaliman maka
bukan sahaja pemimpin yang melakukan kerosakkan itu akan ditanya tetapi rakyat
yang membuat pemilihan dan mandat juga akan ditanya dan disoal siasat hingga ke
akar umbi kenapa tugas kepimpinan itu diberikan kepada mereka yang tidak jujur
dan amanah..?
Pemimpin yang adil ibarat bayang-bayang Tuhan, sebab
pengambilan kata adil sendiri berasal dari salah satu nama Allah SWT, iaitu
Al-Adlu (Allah Yang Maha Adil). Adil bermakna menempatkan sesuatu pada
tempatnya yang betul dan tepat.
Daripada Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah
bersabda, “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu
adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana
bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa
mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan
perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka." (Hadis Riwayat Muslim)
Berlawanan daripada sifat adil adalah zalim, iaitu
meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang betul dan tepat. Allah SWT telah
mengharamkan sifat dan perilaku zalim atas diri-Nya, dan Dia juga mengharamkan
diri hamba-hamba-Nya melakukan kezaliman. Perilaku adil akan menciptakan
kesejateraan untuk rakyat. Sebagaimana zalim akan mendatangkankan bencana,
musibah, dan malapetaka.
Dalam hadis qudsi-Nya Allah berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya Aku telah mangharamkan zalim itu atas diri-Ku, dan telah Aku
jadikan zalim di antara kalian itu sesuatu yang diharamkan, kerana janganlah
kalian saling berlaku zalim.''
Raslullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tiga golongan
yang tidak ditolak doa mereka iaitu doa seorang berpuasa hingga ia berbuka, doa
pemimpin yang adil dan doa orang yang di zalimi ." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Mengapa doa pemimpin yang adil itu sangat mustajab di sisi
Allah SWT? kerana di bahunya terletak berbagai pengharapan dan hajat hidup
rakyat jelata.
Dikisahkan dalam sebuah riwayat yang mashur, ketika Saidina
Umar bin Khattab r.a sedang bertugas sebagai khalifah, ketika itu Gubnur Mesir,
Amr bin Ash r.a., mengadu tentang musim kemarau yang kering dan berpanjangan
yang menimpa kaum muslimin di negeri itu. Sungai Nil yang menjadi sumber
penghidupan rakyat sudah tidak mengalirkan air.
Khalifah Umar lalu memanggil Amr bin Ash untuk datang ke
Madinah. Khalifah lalu berkata, "Wahai Amr bin Ash bawalah suratku ini
lalu lemparkanlah ia ke Sungai Nil!" Isi surat itu berupa doa seorang
khalifah yang adil.
Dalam surat itu, Umar yang dikenal sebagai pemimpin yang
adil memanjatkan doa dan berinteraksi dengan Sungai Nil, katanya : "Wahai
sungai, engkau adalah makhluk Allah yang diciptakan oleh-Nya untuk menolong hamba-Nya
yang lain, jika engkau adalah makhluk ciptaan Allah bantulah hamba-hamba Allah
dan mengalirlah engkau!" Sejak doa itu diucapkan, Sungai Nil tidak pernah
lagi mengalami kekeringan sehingga kehari ini.
Daripada Abi Hurairah (ra) bahawa Rasulullah (Sallallahu
Alaihi Wasalam) bersabda : "Ada tujuh golongan yang akan mendapat
perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:
1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan
dan cantik, lalu ia
berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak
mengetahui tangan
kirinya apa yang
diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang
bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya."
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pemimpin yang adil adalah golongan yang pertama akan
diberikan perlindungan Arasy oleh Allah SWT di Padang Masyar nanti. Dalam
sebuah riwayat juga disebutkan bahawa pemimpin yang adil kelak akan bersama
para nabi dan rasul, syuhada, dan siddiqin (orang-orang yang membenarkan ajaran
agama Islam) dan orang-orang soleh di dalam syurga.
Apa pula akibatnya jika seorang pemimpin melakukan khianat?
Sesiapa sahaja yang diangkat oleh Allah untuk memimpin suatu urusan rakyatnya,
kemudian ia meninggal dunia, di mana saat ia meninggal dunia ia sedang
berkhianat kepada rakyatnya, maka tiada lain kecuali Allah SWT akan haramkan
baginya untuk masuk syurga.
Ma'qil bin Yasar r.a berkata :Aku pernah mendengar
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ditaklifkan (di amanahkan) oleh
Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya
Allah mengharamkan ke atasnya(pemimpin) syurga." (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam Islam jawatan dan kedudukan bukanlah semata-mata
anugerah, tapi juga ianya adalah amanah yang harus dipertanggung jawabkan,
bukan hanya di hadapan rakyat, tapi terutama di hadapan mahkamah Allah Yang
Maha Adil kelak. Jika seseorang mendapatkan jawatan dan kedudukan bukan dengan
cara yang hak (betul) , tapi dengan cara-cara batil, iaitu dengan menghalalkan
segala cara, seperti politik wang dan memberi rasuah dengan segala macam bentuknya,
dengan menyebar fitnah, dengan menggunakan cara-cara sihir dan sebagainya.
Kemudian setelah ia menduduki jawatan dan kedudukan itu ia menipu, ingkar atas
janji-janjinya, rasuah, dan zalim , maka jawatan dan kedudukan itu hanya akan
menjadi kehinaan dan penyesalan di hari kiamat, dan ia akan diharamkan masuk
syurga.
Dari Abu Zar, dia berkata : Saya berkata: “Ya Rasulullah
mengapa engkau tidak memilih saya." Rasulullah SAW bersabda, "Hai Abu
Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat
hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan
hak kewajipannya dan memenuhi tanggung jawabnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa Abu Zar ketika
meminta jawatan, tidak di indahkan oleh Rasulullah SAW. Kerana amanah menuntut
dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan
sesuatu pekerjaan. Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak
berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah
melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli
(mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli.
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya jawatan
itu adalah amanat, dan pada hari kiamat akan menjadi kehinaan dan penyesalan,
kecuali mereka yang mendapatkan jawatan itu dengan cara yang hak ( atau ia
orang yang paling berhak ) dan ia menunaikan tugas dan kewajiban yang ada pada
jawatan itu ( termasuk memenuhi janji-janjinya ) “ (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang
hamba yang oleh Allah dipercaya untuk memimpin sebuah umat, lantas ia mati, dan
ketika memimpin ia menipu (zalim ) terhadap rakyatnya, pasti Allah mengharamkan
baginya masuk syurga . “ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hisyam bin Urwah meriwayatkan hadis Nabi SAW yang menyatakan
bahawa pemimpin itu ada yang baik, ( takwa, jujur, adil , cerdas dan berakhlak
mulia ) dengan segala macam kebaikannya, dan ada pemimpin yang buruk, ( jahat,
zalim, dan rasuah ) dengan segala macam keburukannya. Pemimpin bertakwa akan
selalu menghindarkan diri dari perbuatan maksiat dan zalim. Pemimpin yang jujur
akan membina kan kepercayaan rakyat dan jauh dari mengambil rasuah dan
mementingkan diri sendiri dan ahli keluarga.
Sahabat yang dimuliakan,
Pemimpin yang adil akan melahirkan ketentraman bagi seluruh
rakyat dan mendatangkan berkah dan rahmat Allah. Pemimpin yang cerdas dan
berwawasan jauh boleh membawa rakyat ke arah yang lebih baik dan maju. Pemimpin
yang berakhlak mulia akan menjadi pautan rakyatnya, dan akan mendahulukan
kepentingan rakyat dari pada kepentingan peribadi dan kumpulannya sahaja.
Bagaimana ia boleh berbuat adil, mampu menegakkan keadilan
(hukum), memberantas rasuah dan penyelewengan kerana ia naik menjadi pemimpin
dahulunya kerana memberi rasuah atau disokong oleh pengikut-pengikutnya yang
hanya mempunyai agenda tersendiri dan hanya mengejar pangkat dan kuasa. ? atau
ia mendapatkan jawatan dan kuasa secara kotor dan menghalalkan cara.?
Bagaimana boleh kita mengharapkan dia boleh membela agama
Allah sedangkan hidupnya tidak membawa akhlak Islam dan dengan jelas nampak
kejahilannya memahami tuntutan agama yang di anutinya Pemimpin yang zalim,
jahat dan rasuah hanya akan membawa kemurkaan Allah SWT.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi,
Rasulullah SAW. menyatakan bahawa keadaan pemimpinmu mencerminkan keadaan
rakyat yang dipimpinnya. ( Kama Takunu Yuwalla ‘alaikum ).
Dalam kitab An-Nihayah menjelaskan bahawa jika rakyat
beriman, beramal soleh, jujur, dan cerdas , maka yang akan tampil sebagai
pemimpin mereka adalah orang yang punya peribadi seperti itu. Tapi jika
rakyatnya terdiri dari orang-orang yang jahat, suka melakukan maksiat, suka
membaut kerosakkan maka akan lahirlah pemimpin yang jahat seperti amalan rakyat
tersebut.
Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi SAW pernah mengingatkan
pula bahawa barang siapa yang memilih seseorang sebagai pemimpin hanya atas dasar
taksub ( fanatik buta ) tanpa menjadikan petunjuk Alah SWT dan rasulNya sebagai
contoh ikutan, maka ia telah berkhianat kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang
beriman.
Sahabat yang dikasihi,
Berhati-hatilah kalian dalam menentukan pemimpin yang akan
kalian pilih. Carilah pemimpin yang akan membuat perubahan dan pembangunan
rohani dan jasmani. Janganlah cari pemimpin yang hanya memikirkan pembangunan
kebendaan sahaja tanpa menjaga pembangunan akidah dan kerohanian. Pilihlah
pemimpin yang akan mendekatkan diri kalian dengan ajaran Islam, sentiasa
prihatin dengan masalah rakyat dan memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa
mengira bangsa, agama dan keturunan bukannya pemimpin yang hanya mementingkan
kaum suku sakatnya sahaja.
Jika kalian tersilap membuat pemilihan dan perhitungan,
risiko yang akan di terima cukup besar kerana ianya akan disoal dan di siasat
secara teliti oleh Allah SWT di akhirat nanti. Berhati-hatilah supaya pemilihan
kali ini di buat dengan gerak hati terdorong daripada cetusan iman dan takwa
dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan