“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?” ibu muda yang baru
bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat. Sambil
tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut
dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, ciumnya
berkali-kali sebaik bayi tersebut berada di pangkuan.
Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat
bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga. Namun gamamnya cuma
seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu
merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu
yang cukup mengembirakan si ibu.
Masa terus berlalu…
Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping
telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu
bagaimana dia ejek rakan-rakan. “Mereka kata saya cacat,” katanya kepada si
ibu.
Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai
kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan
menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si
anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk Ayah kanak-kanak
itu bertemu doktor. “Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata
pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup
berkorban.
Setahun berlalu…
“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan
ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan,”
kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai
manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah
diri yang kerap dialaminya hilang.
Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup
seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat
20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.
“Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu
siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,” kata si anak
berkali-kali.”Tak mungkin,” balas si ayah. “Perjanjian antara ayah dengan
penderma itu masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.”
“Bila?” tanya si anak.
“Akan tiba masanya anakku,” balas si ayah sambil ibunya
mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.
Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di
sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku.
Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua
cuping telinga ibunya tiada.
“Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si ayah
berbisik ke telinga anaknya. “Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat,
dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah
ayah temui. Tak percaya… tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”
Si anak kaku..
*Sedih kan? Pengorbanan ibu tidak terbalas..jadi hargai ibu
kita selagi dia masih bernafas dan masih ada dihadapan kita..