Khamis, 29 Disember 2011

Amalan-amalan Sunat Hari Jumaat


                                             
jom kita perbanyakkan amalan sunat kita masa hari jumaat nie.. tapi jangan sampai amalan wajib tertinggal pulak ye..

  1. Memperbanyakkan selawat pada malam jumaat dan siang jumaat

> Sabda Rasulullah saw : "perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari jumaat dan malam jumaat. 
    sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat dan memberi salam
    kepadanya sepuluh kali" (riwayat al-baihaqi)

2. Membaca surah al-kahfi hari jumaat atau malam jumaat

> Rasulullah saw bersabda: "sesiapa yang membaca surah al-kahfi pada hari jumaat, maka ia akan
   diterangi oleh cahaya antara dua jumaat" (riwayat al-nasa'i dan al-baihaqi)

3. Mandi sunat, berhias, bersiwak/bersugi, dan memakai wangi-wangian

> Rasulullah saw bersabda: "sesungguhnya hari ini (jumaat) ialah hari raya yang Allah jadikan
   untuk kaumMuslimin, sesiapa yang mendatangi solat jumaat, maka hendaklah ia mandi, 
   jika memiliki minyak wangi,maka hendaklah ia memakainya. hendaklah kalian bersiwak"
   (riwayat ibnu majah dengan sanad hassan)

4. Bersegera menghadiri solat jumaat

> Terdapat ganjaran yang berbeza bagi mereka yang pergi ke masjid pada hari jumaat.
    waktu masuk ke masjid di awal waktu seolah-olah berkorban seekor unta, 
    waktu kedua seolah-olah berkorban seekor lembu,  
    waktu ketiga seolah-olah bekorban seekor kambing kibas, 
    waktu keempat seolah-olah seekor ayam dan waktu masuk ke masjid pada akhir
     waktu seolah-olah bekorban sebiji telur..

5 Berusaha duduk dekat dengan imam semasa solat jumaat

> Rasulullah saw bersabda : "hadirilah khutbah dan mendekatlah kepada imam,
   sesungguhnya seorang yang sentiasa menjauh akan diakhirkan tempatnya
   di syurga meskipun memasukinya" (riwayat abu daud dan al-hakim)



Rabu, 28 Disember 2011

KETAATAN UWAIS KEPADA IBU TELADAN BUAT UMMAH

Pemuda miskin Yaman disebut Nabi sebagai penghuni langit kerana taatkan Allah, bonda
UWAIS al-Qarni hidup pada zaman Rasulullah. Beliau seorang pemuda miskin yang tinggal di Yaman bersama ibunya yang sudah tua, lumpuh dan buta. Uwais tinggal dengan ibunya kerana beliau tidak mempunyai ahli keluarga lain.

Kerjanya mengambil upah mengembala qibas dan unta. Upah diterimanya cukup untuk nafkah beliau bersama ibunya. Apabila ada rezeki lebih, digunakan untuk membantu jiran yang serba kekurangan. Beliau terkenal seorang anak yang taat kepada ibunya dan Allah. Beliau selalu berpuasa dan pada malam hari bermunajat kepada Allah memohon petunjuk. Hatinya sedih setiap kali jirannya pulang dari Madinah menceritakan pertemuan dengan Nabi Muhammad kerana beliau sendiri belum berpeluang berjumpa Baginda.

Hari berganti hari kerinduan Uwais untuk berjumpa Nabi Muhamad semakin mendalam. Hatinya selalu bertanya bila beliau dapat bertemu Baginda untuk memandang wajahnya dari dekat. Beliau rindu mendengar suara Nabi dan kerinduannya kerana iman sedangkan beliau mempunyai seorang ibu yang tua, buta dan lumpuh. Bagaimana harus meninggalkannya untuk menemui Nabi.

Akhirnya kerinduan selama itu dipendamkan. Suatu hari Uwais mendekati ibunya dan meluahkan isi hati untuk memohon izin menemui Nabi di Madinah. Mendengar permohonan anaknya itu, ibunya berkata: “Pergilah wahai Uwais, anakku, temuilah Nabi di rumahnya, selepas berjumpa segeralah engkau pulang.”

Betapa gembiranya hati Uwais mendengar ucapan ibunya. Beliau segera berkemas dan tidak lupa menyiapkan keperluan ibu yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran supaya menemani ibunya selama beliau ke Madinah.

Selepas merentasi perjalanan jauh, akhirnya Uwais sampai di Madinah. Beliau segera mencari rumah Nabi lalu diketuk pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Maka keluarlah seorang seraya membalas salamnya.

Uwais menanyakan Nabi yang ingin ditemui tetapi Nabi tidak berada di rumahnya kerana sedang berada di medan perang. Uwais hanya dapat bertemu Siti Aisyah. Betapa kecewanya hati Uwais datang dari jauh tetapi tidak dapat menemui Nabi.
Uwais ingin menunggu kepulangan Nabi dari medan perang tetapi telinganya masih terngiang pesan ibunya yang sudah tua dan sakit supaya segera pulang ke Yaman. Dia melupakan keinginan hatinya dan berjumpa Siti Aisyah sambil berpesan menitipkan salam kepada Nabi Muhammad.

Selepas itu, beliau segera berangkat ke Yaman dengan perasaan amat terharu. Peperangan selesai, Nabi Muhammad kembali ke Madinah. Setibanya di rumah, Nabi menanyakan Siti Aisyah mengenai orang yang mencarinya.

Seterusnya Nabi mengatakan bahawa Uwais anak yang taat kepada ibunya, adalah penghuni langit.

Mendengar perkataan Nabi, Siti Aisyah dan sahabat terpegun. Menurut keterangan Siti Aisyah, memang benar Uwais mencari Nabi dan bersegera pulang ke Yaman kerana tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Nabi meneruskan keterangannya mengenai Uwais, penghuni langit kepada sahabatnya dan berkata: “Jika kamu ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah tapak tangannya.”

Setelah itu Nabi memandang kepada Ali dan Umar seraya berkata: “Suatu ketika apabila kamu bertemu dengan dia, mohonlah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”

Selepas Nabi Muhammad wafat dan diganti Abu Bakar, kemudian Umar. Suatu ketika Khalifah Umar teringat akan sabda Nabi mengenai Uwais. Beliau segera mengingatkan juga kepada sahabatnya Ali bin Abi Talib.

Rombongan khafilah dari Yaman datang ke Madinah. Umar dan Ali selalu menanyakan Uwais. Rombongan itu memberitahu Uwais ada bersama mereka dan sedang menjaga unta di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, Khalifah Umar dan Ali segera bertemu Uwais.

Setibanya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar dan Ali memberi salam. Tetapi Uwais sedang solat, selepas mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais menjawab salam Khalifah Umar dan Ali sambil mendekati kedua-dua sahabat Nabi itu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar membalikkan tangan Uwais untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di tapak tangan Uwais, seperti pernah dikatakan Nabi. Memang benar, nampaklah tanda putih di tapak tangan Uwais.

Wajah Uwais nampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi dia adalah penghuni langit. Khalifah Umar dan Ali menanyakan namanya dan dijawab: “Abdullah.”

Mendengar jawapan Uwais, mereka tertawa dan mengatakan: “Kami juga Abdullah iaitu hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?” Uwais kemudian berkata: “Nama saya Uwais al-Qarni.”

Khalifah Umar dan Ali memohon doa dan istghfar daripada Uwais dan selepas itu Khalifah Umar berjanji untuk menyumbangkan wang dari Baitulmal kepada Uwais tetapi Uwais berkata: “Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari seterusnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”

Sabtu, 17 Disember 2011

couple yg halal (nikah khitbah)



Dalam adat Melayu perkahwinan dimulai dengan pertunangan sedangkan mengikut cara yg diamalkan dalam masyarakat dulu iaitu nikah gantung adalah lebih menepati maksud khitbah dalam Islam bukannya bertunang. Ada orang yang menyamakan Khitbah dalam Islam sebagai pertunangan adalah tidak tepat.


Akibat dari cara khitbah yang salah telah menjadikan pertunangan sebagai asas untuk menghalalkan "coupling" (dulu disebut berdua2an atau merendet) antara lelaki dan wanita. Ada yang memberi alasan untuk ber'couple' dulu atau bertunang dulu untuk kenal mengenali satu sama lain sedangkan hubungan perkahwinan bukan isu hukum Thourndike "cuba-cuba" atau "trial and error". Ia adalah satu amanah dalam Islam. Ramai di kalangan remaja pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”. Ada yang berkata,"Bertunang boleh kenal hati budi, kalau tak sesuai boleh putuskan tapi kalau dah kahwin susahlah, nak bercerai malu!"

Isunya: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaituBERNIKAH!”.

Apabila persoalan nikah ini diutarakan, ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!", "Saya masih belajar!", "Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”, “Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan lagi. Kenapa mereka boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.


Khitbah

Secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada yang bertunang kemudian ber'coupling' berakhir dengan keterlanjuran, kemudian putus dengan pelbagai alasan.

Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung” (bunyinya amat mengerikan?)

Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda,duda atau yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Saya sedang berusaha untuk menghidupkan kembali 'nikah gantung' ini dengan panggilan baru iaitu 'nikah khitbah', walaupun menghadapi sedikit masalah penerimaan.  Ia semata-mata bertujuan untuk mengelakkan perkara maksiat yang boleh berlaku seperti berhubungan melalui telefon (melepas rindu dendam melalui telefon, sms, chatting, fb dll), bertemu antara pasangan walaupun ada mahram (tetap akan berlaku bertentang mata dan apa sahaja yang boleh menjadi muqaddimah kepada zina mata, tangan, hati dll.)  Saya sendiri bernikah gantung (nikah khitbah) pada 7.7.1979 iaitu 6 bulan sebelum majlis kenduri. Dengan tiket nikah saya tiada masalah untuk menemui isteri atau keluar bersama-sama (ber'couple') kerana dah disahkan sebagai suami isteri (gantung-sebab tdk duduk serumah) yg lebih menepati khitbah secara Islam. Malah dengan tiket nikah itu membuatkan saya merasai beban amanah sebagai suami meskipun kami tidak serumah sementara menunggu majlis kenduri pada bulan Disember 1979. Saya mahu menjadi ibubapa yg awal pada zaman moden yang penuh kecelaruan dengan menjadikan nikah khitbah dipraktikkan oleh anak-anak saya yang belum berkahwin, insyaAllah. Doakan!!!
(by Ustaz Hashim Al-Maranji)

Like button